“Reading was my escape and my comfort, my consolation, my stimulant of choice: reading for the pure pleasure of it, for the beautiful stillness that surrounds you when you hear an author's words reverberating in your head.”
― Paul Auster, The Brooklyn Follies
Sayanglah ibubapa kerana Allah..
Posted on Friday, May 9, 2014
Posted at 11:18 PM
Berbual dengan seorang pelajar hafiz Al-Quran yang berjaya menghadiahkan sebuah rumah buat ibunya semasa belajar lagi.

Ibu tadi tinggal bersama anaknya. Hanya berdua semenjak anak itu kecil lagi. Ibu tadi tidak memilih untuk berkahwin lain walaupun sudah 20 tahun berlalu. Walaupun orangnya cantik semasa muda. Berbekalkan sedikit bantuan zakat dan upah menjual sikit-sikit. Setiap minggu ulang alik tengok anak ketika duduk asrama. Jauh bergerak dari kawasan pedalaman.

Ibu tadi sentiasa menjaga tahajud, dhuha, dan sangat rajin baca Al-Quran. Saya pernah tunjuk/postkan rumahnya yang hampir roboh dan di makan anai-anai. Jika boleh dikatakan rumah. Saya paling tersentuh dengar doa anak tadi yang risau ada ular dan binatang berbiasa masuk dalam rumahnya. Doa supaya ibunya selamat kerana sudah tua.

Anak tadi rajin ikut saya menjadi fasilitator program saya setiap kali cuti. Jika kami menginap di mana-mana , pelajar tadi akan bangun awal untuk mengaji dan mengulang Al-Quran.

Segala puji bagi Allah, baru ini dengan usaha gigih dan doa ibu dan anak tadi. Anak tadi berjaya kumulkan duit dan berjaya menyiapkan rumah ibunya walaupun dia masih belajar lagi. Semua dengan izin dan kehendak Allah. Kini usahanya yang seterusnya membawa ibunya pergi umrah katanya.

Hebatnya pengorbanan seorang ibu tunggal buat anaknya. Sayangnya seorang ibu pada anaknya. Bukan sehari. Puluhan tahun berkorban demi anak-anak. Segala puji bagi Allah menjadikan anak-anak seperti ini.

Segala puji bagi Allah. Allah jadikan kesusahan dalam hidup ini untuk kita lalui dengan Taqwa. Cinta dan takut pada Allah.. Jika kita sabar insyaAllah, tak lama dah, kita akan lihat hasilnya.

Sedih masih ramai anak-anak yang lupa untuk baca Al-Quran. Lupa untuk buat baik pada ibubapa mereka. Lupakan kebaikan mereka yang banyak kerana hanya tidak merestui pilihan jodoh mereka. Lebih malang, masih ada yang mabuk dunia sehingga tidak kenal mana kawan. Mana lawan. Mana teman. Mana Musuh. Sehingga ada yang tidak menziarahi ibubapa kerana dunia. Atau hati yang sombong. 
Sampai hati kau anak?

Sayangilah ibubapa kerana Allah.

Ya Allah ampunkan dosa kedua ibubapa kami.
Kasihanilah mereka. Berilah mereka tempat terbaik dalam syurgaMu. Syurga FirdausMu.

Ya Allah, sihatkan mereka yang masih hidup. Hilangkan lenguh-lenguh lutut mereka.

Ya Allah, balasilah peluh dan kesakitan mereka demi kami. Jadikanlah air mata mereka dan kesusahan mereka jadi asbab hidayah buat kami dan manusia seluruh alam.

Ya Allah, gembirakan hati mereka. Jadikan kami anak yang menggembirakan hati ibubapa kami. Janganlah kerana kami mereka susah hati. Mereka dah lama susah.

Ya Allah dikala kami pergi belajar agama, kami tinggalkan mereka. Kau jagalah mereka.

Ya Allah, jika mereka ada masalah kau penuhilah segala keperluan dan keinginan mereka Ya Allah kau berkatilah hidup mereka.

Ya Allah, maafkanlah segala salah silap mereka. Dosa mereka kau ampunkan. Ya Allah terima kasih ya Allah. atas segala kebaikanMu kepada kami dan kepada kedua orang tua kami. Segala milikMu ya Allah-

coreten Ustaz Ebit Lew.