“Reading was my escape and my comfort, my consolation, my stimulant of choice: reading for the pure pleasure of it, for the beautiful stillness that surrounds you when you hear an author's words reverberating in your head.”
― Paul Auster, The Brooklyn Follies
WARKAH GST KEPADA IBU.
Posted on Monday, May 12, 2014
Posted at 12:45 AM
Ke Hadapan Ibunda yang sering berforwardkan pertanyaan GST dari group whatsappnya,

Anakanda faham kebimbangan ibu dan juga rakan-rakan ibu yang lain berkenaan dengan GST. Maklumlah sebagai penjaga kewangan keluarga yang sering berkerut dahi memikirkan perbelanjaan keluarga, sudah tentulah pengenalan GST akan memberi kesan kepada duit belanja dapur, duit belanja anak-anak, duit poket suami dan juga duit shopping hujung bulan.

Sempena hari ibu ini, anakanda ingin menukilkan pandangan anakanda berkenaan dengan GST. Maaf jika nukilan anakanda ini tidak begitu sweet seperti biasa kerana tiada yang lebih sweet daripada melihat ‘revenue’ keluarga kita melebihi perbelanjaan. (Entah sejak bila kita gunakan perkataan ‘revenue’. Abaikan.)

Pertama yang kita kena faham, negara kita ni suka benar bagi subsidi. Minyak subsidi, beras subsidi, perubatan subsidi, pendidikan subsidi, tinggal kahwin je tak ada subsidi khas. Agaknya lagi bagus kalau Gomen tarik semua subsidi dan ganti dengan subsidi kahwin. InsyaAllah tahun depan ibunda dapat menantu. Tapi itu cerita lain.

Jadinya ibu, sebabkan banyak sangat bagi subsidi dan ditambah dengan kos operasi Gomen yang saban tahun meningkat, nak tak nak Gomen kena cari duit lebih. Nak buang kakitangan kerajaan yang beli skrew RM15 sebutir untuk kurangkan kos tak boleh sebab nanti kalah pilihanraya. Lagipun minyak Petronas bukan banyak macam negara arab untuk Gomen mintak RM30 billion setiap tahun seperti tahun-tahun sebelumnya.

Di negara anakanda belajar, Gomen di sini kenakan cukai pendapatan untuk semua yang bekerja setinggi 45%. Kadang-kadang rasa baik dapat saguhati penganggur daripada kena tolak gaji banyak sangat.

Di negara kita jumlah pekerja yang bayar cukai hanyalah 1.9 juta daripada 8 juta. Nak tunggu lagi 6.1 juta pekerja lain layak bayar cukai ambil masa yang lama. Sebabnya banyak majikan-majikan masih ketagih pekerja asing yang sanggup dibayar murah. Bila 1/3 pekerja sanggup dibayar rendah, macam mana gaji 2/3 pekerja lain nak naik?

Kesimpulannya nak terus bergantung kat Petronas tak boleh, nak kurangkan kos operasi pun susah, nak naikkan kadar cukai pendapatan pun mustahil dan nak tunggu semua pekerja bayar cukai pun ambil masa. Anakanda rasa atas sebab inilah Gomen perkenalkan GST.

Ibunda yang dikasihi,

Ibu bertanya ‘barang-barang dapur nanti naik harga ke bila GST ni dikenakan? GST ini adalah cukai penggunaan. Makin banyak barang ibu taruk dalam trolley makin banyaklah ibu kena cukai. Kalau ikutkan makin banyaklah belanja ibu kena keluar. Tapi untuk pastikan barang-barang dapur yang biasa ibu dan rakan-rakan ibu beli tak naik, Gomen senaraikan beras, telur, minyak masak, tepung, sayur, ikan yang tak dikenakan GST. Adik-adik punya yuran pendidikan pun tak kena GST, begitu juga bil kesihatan keluarga kita. Cumanya kebanyakan barang ini tak termasuk barangan seperti beg tangan Gucci, kasut kulit Massimo Dutti ataupun iPad Air.

Tempoh hari ibu ada bertanya benarkah harga barang akan turun bila GST berkuatkuasa. Kalau ikut teori, GST akan kurangkan kos barangan kerana peniaga boleh tuntut rebat bagi setiap cukai yang dikenakan pengilang dan pemborong. Tetapi ibu faham sahajalah peniaga Malaysia bagaimana. Harga petrol dah turun pun harga barang tak turun-turun. Jadi nasihat anakanda, ibu dan rakan-rakan ibu yang lain laporkan kepada Kementerian Pengguna kalau ada peniaga yang cekik darah. Jangan risau, Gomen dah perkenalkan Akta Anti-Profiteering (dalam bahasa Melayu Anti-Cekik Darah la kot?) untuk peniaga-peniaga yang begini.

Tapi katalah ibu malas nak cari gaduh untuk buat laporan, ibu terima sahajalah kenaikan harga itu kerana ikutkan ibu sudah dapat penjimatan hasil daripada kadar cukai pendapatan yang rendah. Selalunya negara yang ada GST, cukai pendapatannya rendah.

Ibunda yang dikasihi

Ibu ada bertanya juga kalau semua barang tak kena GST dan turun harga, macam mana revenue negara nak bertambah? (Sekali lagi kenapa perkataan revenue digunakan.) Macam anakanda terangkan tadi, cukai ini tertakluk kepada semua orang. Walaupun jumlah barangan yang dikenakan GST tak banyak, tetapi jumlah pengguna barang tersebut yang akan membayar cukai GST jauh lebih ramai. Analoginya macam main kutu bayar RM10 dengan 10 orang atau bayar RM1 dengan 1000 orang. Tapi dalam kes GST, giliran yang dapat hanyalah Gomen.

Ibundaku,

Akhir kalam, GST ini samalah seperti PPSMI. Objektifnya bagus, tujuannya baik. Tetapi jika perlaksanaannya bercelaru seperti kementerian tak pantau harga, pengguna tak lapor harga barang cekik darah, kerajaan tak hukum peniaga yang ingkar dan peniaga sabotaj sistem cukai ini, dasar yang bagus tidak akan ke tengah, sebaliknya ke laut. Nasihat anakanda adalah ‘ bersedialah dengan harga sesetengah barang yang akan naik, jadilah pengguna yang kaki lapor dan kawallah nafsu shopping ikut kemampuan.’ Sebenarnya nasihat terkahir itu lebih tepat ditujukan kepada anakanda sendiri.

Abaikan juga sesetengah kempen GST Gomen yang ‘oversell’ seperti 160 negara lain ada GST, jadi kita kena ada GST. Kalau begini logiknya lebih baik kita hentikan bantuan ke sekolah vernakular kerana tidak ada negara di dunia yang lakukannya.

Anakanda harap warkah ini sedikit sebanyak menjelaskan mengapa Gomen perkenalkan GST dan kesannya kepada bajet duit dapur keluarga kita. Harap bermanfaat. Selamat hari ibu.

MatRodi

Ps: Tiket balik anakanda tidak dikenakan GST Gomen 6% tetapi kena VAT UK 16%.